KUALA LUMPUR 3 Nov. – Pelakon popular, Abby Abadi gagal memfailkan perceraian dengan suaminya, Mohamed Norhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32, yang ditangkap khalwat dengan seorang pelakon baru Khamis lalu, selepas tidak dapat menyediakan dokumen lengkap dalam permohonannya.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan, 29, yang datang seorang diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini berkata, dia berhasrat mengemukakan tuntutan fasakh tetapi dimaklumkan tuntutan itu akan mengambil masa.

Berikutan itu, katanya, dia telah dinasihatkan oleh pihak mahkamah agar bercerai secara baik (dengan lafaz cerai di mahkamah) supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak.

”Namun hari ini saya gagal hendak failkan perceraian kerana banyak maklumat tidak tahu seperti alamat (Norman) kerana nanti kalau main tulis, surat mahkamah tak sampai,” katanya.

Menurut Abby, Norman mengetahui hasratnya untuk bercerai melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar memandangkan suaminya tidak menjawab panggilan telefon bagi mendapatkan butiran-butiran yang diperlukan untuk dokumen tersebut.

”Norman ada balas (SMS) dan minta saya teruskan niat saya. Jadi saya tidak nampak ada ruang untuk rumahtangga saya. Apa cara sekalipun saya kena minta kerjasama daripada dia sebab dia tidak boleh elak.

”Sebab saya pun dah buntu macam mana nak selesaikan masalah kami,” katanya dalam nada bergetar dan sesekali menahan sebak semasa ditemui oleh pemberita di ruang legar mahkamah.

Norman, 32, pelakon drama bersiri Gerak Khas, ditahan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis ketika dia dan pelakon, Memey Suhaiza berada di dalam sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana dekat sini pada pukul 3 pagi, 30 Oktober lalu.

Menurut Abby, walaupun mengikut balasan SMS yang diterimanya, Norman seolah-olah enggan menemuinya tetapi dia perlu mendapat kerjasama suaminya bagi menyelesaikan masalah itu.

Abby yang ditemui pemberita buat kali pertama selepas kejadian minggu lalu menjelaskan, selepas ditangkap khalwat, dia telah pergi menemani Norman setelah diminta oleh suaminya untuk memberi kekuatan kepadanya dan merasa sedih dengan apa yang berlaku.

”Saya jumpa dia kerana saya nampak penyesalan dia atas apa yang berlaku dan dia rasa bersalah kerana mengabaikan saya dan anak-anak.

”Lepas itu, ada satu kenyataan yang keluar daripada mulut dia yang menyebabkan hati saya terluka, dia tidak jaga hati saya langsung.

”Saya datang beri sokongan kepada dia dan saya rasa sedih apa yang berlaku pada dia tapi dalam kereta dia kata pada saya ‘tolong selamatkan dia (Norman) dan perempuan itu’. Ini yang saya tidak boleh terima,” kata Abby.

Tambah Abby, rumahtangga yang dibina pada 11 Januari 2002 memang sukar diselamatkan lagi kerana kecewa setelah sekian lama tidak dipedulikan oleh suaminya, ditambah dengan kata-kata Norman itu yang dianggap telah menambah penderitaannya.

”Dalam keadaan macam ini pun, dia (Norman) boleh puji perempuan itu lagi, jadi saya rasa dah tidak nampak apa-apa dah untuk rumahtangga saya,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak memberitahu anak-anaknya mengenai tindakannya untuk memfailkan perceraian kerana mereka terlalu kecil untuk memahaminya.

Menjawab soalan lain, Abby menyatakan tidak timbul soal bermadu kerana dia memang telah berniat untuk berpisah dengan suaminya dan terpulang kepada Norman untuk berkahwin dengan pelakon terbabit selepas itu.

Abby yang menafikan menjadi dalang kepada penangkapan pasangan itu minggu lalu berkata, dia sedia bersemuka dengan pelakon baru itu kerana tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukannya.

Sementara itu, Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Harun Hashim berkata, Abby dinasihatkan agar berbincang terlebih dahulu dengan Norman sebelum bertindak memfailkan perceraian mereka.

Harun berkata, nasihat diberikan agar perceraian dapat dibuat secara baik dengan melafazkan cerai di mahkamah mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

”Kalau dia mendaftarkan cerai, mahkamah akan memberi masa dalam tempoh 21 hari untuk menetapkan tarikh bicara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Menurutnya, Abby gagal memfailkan perceraian kerana tidak mempunyai dokumen lengkap termasuk ketiadaan surat rujuk yang didakwa berada di tangan Norman.

Norman yang baru saja menimang cahaya mata ketiga, Maria Danisha Hakim yang berusia 45 hari, pernah bercerai talak satu dengan Abby pada 5 Mei 2006. Bagaimanapun, mereka rujuk semula dalam tempoh yang singkat.

Pasangan itu mempunyai dua cahaya mata lain iaitu Danish Hakim, 5, dan Marisa Dania Hakim, 3.

Leave a Reply